Piala Perak imbau legenda 80-an, 90-an
Date: Friday, May 28 @ 12:24:18 UTC
Topic: Utusan Online


KUALA LUMPUR - Mengimbau kembali aksi bola sepak zaman 80-an dan 90-an itulah yang dapat diungkapkan kepada dua musuh tradisi, Perak dan Selangor apabila bekas pemain kedua-dua pasukan kembali ke atas padang dalam perlawanan merebut Piala Perak 2010.

Perlawanan yang diberi nama legenda Perak menentang legenda Selangor itu diadakan sempena konsep Sorakan 1Malaysia 1Dunia oleh RTM selaku penyiar rasmi perlawanan siaran langsung Piala Dunia 2010 Afrika Selatan.

Menurut Exco Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, selain perlawanan tersebut pelbagai lagi acara menarik termasuk lima perlawanan sampingan yang melibatkan pasukan Pilihan Menteri Besar Perak.

"Sepanjang tiga hari acara ini diadakan iaitu dari 28 hingga 29 Mei ia akan dihidangkan dengan lima perlawanan bola sepak selain pertemuan pemain legenda, iaitu Majlis Bandaraya Ipoh menentang Karyawan, Majalah Stadium bertemu Pilihan Artis, RTM berentap dengan Media Prima serta Pilihan Menteri Besar melawan Malay Allboys Singapura," katanya dalam sidang media semalam.

Jelasnya, semua perlawanan tersebut diadakan sempena Sorakan 1Malaysia 1Dunia peringkat negeri Perak yang meraikan kedatangan Piala Dunia yang diadakan empat tahun sekali.

"Seperti yang sedia maklum pasukan Perak dan Selangor pada satu ketika dahulu adalah musuh tradisi dalam saingan bola sepak tempatan, jika kedua-dua pasukan ini bertemu baik di Ipoh mahupun Lembah Klang sudah pasti stadium akan sentiasa penuh.

"Jadi perlawanan antara Legenda Perak dan Selangor ini termasuk Perak Allstar dan Selangor Allstar sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia yang jarang disaksikan pada zaman sekarang," katanya.

Zainol berkata, perlawanan tersebut bakal disiarkan secara langsung di RTM 1 pada pukul 9.00 malam dan ia akan memberi suntikan semangat kepada semua peminat bola sepak melihat bekas pemain bertarung sesama sendiri.

"Selain itu perlawanan Grand Final Moh Futsal melibatkan 32 pasukan juga bakal berlangsung pada hari Ahad dengan kesemua pasukan akan mewakili pasukan yang bakal beraksi di Piala Dunia 2010 nanti.

"Ia memang menarik 32 pasukan ini akan berada dalam kumpulan yang sama seperti Piala Dunia 2010, begitu juga dengan jadual perlawanan sama seperti jadual asal," katanya.

Selain perlawanan bola sepak dan futsal, acara tersebut turut memperlihatkan siapa yang bakal menjadi juara dalam pertandingan kugiran yang diberi nama Rentak Juara Perak.

Antara pemain yang dijangka mewakili pasukan legenda Perak ialah Chan Kok Heng, P. Ravindran, Mohd. Nidzam Adha Yusof, A. Elanggoven dan Azizul Abu Haniffah.

Sementara pasukan legenda Selangor akan diwakili pemain seperti Yap Kam Choon, Datuk Soh Chin Aun, Yap Kam Choon, Dollah Salleh, Azlan Johar, Zainal Abidin Hassan dan Khalid Ali.

copyright sportsmalaysia

| More






This article comes from Yob4ever.COM : Perak Football e-Fans Homepage
http://www.yob4ever.com/v2

The URL for this story is:
http://www.yob4ever.com/v2/modules.php?name=News&file=article&sid=972